Sunday 21 August 2011

mak yong


Sejarah dan latar belakang pengkajian.
                Mak Yong merupakan salah satu daripada seni tari dan persembahan tradisi melayu. Seni persembahan Mak Yong menggabungkan antara seni tarian dan juga lakonan sambil diiringi dengan paluan muzik serta nyanyian. Selain itu seni persembahan Mak Yong juga mengandungi unsur-unsur ritual kerana dikaitkan dengan amalan pemujaan yang dilakukan sebelum persembahan dilakukan. Namun begitu setelah kedatangan islam di Nusantara, seni persembahan ini mula mengalami perubahan, gaya persembahan dan juga falsafah seni persembahan tersebut mula diresapi dengan elemen-elemen islam. Drama tari ini selalunya dipentaskan terutamanya di negeri-negeri pantai timur seperti Kelantan, Terengganu dan negeri lain seperti Kedah dan Perlis, namun begitu terdapat perbezaan diantara persembahan kesenian ini dinegeri-negeri yang terlibat. Perbezaan seni persembahan Mak Yong di setiap negeri  dibezakan dengan ‘lafas tutur bahasa’  atau ‘dialek’ yang di tuturkan.
                Asal usul Mak Yong sebenarnya dari Negara Thailand dan menurut Osnes didalam bukunya Acting: An International Encylopedia of Tradisional Culture pada tahun 2001 menyatakan bahawa Mak Yong telah wujud sejak 800 tahun yang lalu di Negara Thailand yang pada ketika itu dikenali sebagai Siam. Ketika itu Mak Yong hanya dipersembahkan ketika musim menuai padi bagi menghormati semangat padi yang digelar sebagai ‘Semar’, persembahan tersebut bagi menunjukkan rasa kesyukuran mereka terhadap kebaikan dan kemurahan semangat tersebut dalam memberikan rezeki kepada mereka. Setelah itu, Mak Yong  telah dibawa ke istana dan hanya dipersembahkan dihadapan raja. Mak Yong telah di bawa ke Kelantan lebih kurang 200 tahun yang lalu dibawah pengaruh kekuasaan dan kesenian Siam. Bermula dari situ Mak Yong telah berkembang ke negeri-negeri yang lain seperti Kedah, Perlis dan Terengganu. Ketika itu Mak Yong telah mula bebas dari kawalan istana dan mula dipelajari
                                                                                              
dan dipersembahkan kepada khalayak ramai, hal ini berpunca dari kedatangan British ke Kelantan. Faktor-faktor ini juga menyebabkan kepada kemerosotan mutu persembahan dalam Mak Yong. Pada 1926 hingga tahun 1950-an iaitu selepas peristiwa “ Bah Air Merah “, Mak Yong telah mula dikomersialkan dengan memperalatkan nilai-nilai estetika yang terdapat dalam persembahan tersebut.
                Mak Yong sebenarnya terbahagi kepada lima jenis, jenis Mak Yong yang pertama dikenali sebagai Mak Yong Patani yang ditemui di Pattani, Yala dan Narathiwat yang dahulunya merupakan wilayah Kesultanan Melayu Patani, jenis yang kedua ialah Mak Yong Kelantan yang ditemui di Kelantan dan Terengganu Malaysia dan Mak Yong yang boleh ditemui di negeri-negeri lain contohnya Mak Yong Kedah dan Mak Yong Laut di Perlis.
Persembahan Mak Yong direka dengan penuh nilai falsafah yang tersendiri, nilai falsafah yang mendasari disegenap lapisan persembahan ini menyebabkan kesenian ini dipandang tinggi dan penuh keistimewaan. Malahan, nilai falsafah yang mendasari seni tari dan persembahan ini membuatkan ianya terus bertahan hingga kini.
Kepentingan kajian.
                Seni persembahan Mak Yong sememangnya salah satu seni yang sangat penting untuk dihayati dan diingati kerana menonjolkan nilai astetika melayu yang tinggi. Seni persembahan ini bukan sekadar menifestasi  hiburan semata tetapi lebih kepada ekspesi cara hidup masyarakat mengikut susur galur masyarakat, ketatasusilaan, keagamaan, moral, penceritaan serta seni tradisi masyarakat melayu. Gabungan kesemua eleman ini menjadikan seni persembahan Mak Yong begitu indah dan bernilai. Falsafah yang terkandung didalam seni persembahan ini seharusnya difahami dengan sebaiknya oleh masyarakat melayu agar lebih memahami tentang negara,  bangsa , asal usul yang  mampu membina jati
                                                                                             
diri masyarakat yang mencintai agama dan banga malah melatih diri menjadi lebih berdisiplin. Seni persembahan ini seharusnya diangkat untuk diperkenalkan sebagai wadah yang melambangkan ketinggian nilai astertika kemelayuan.
Falsafah yang mendasari simbol / motif dalam bentuk seni tradisional yang telah dipilih 
Nilai dan falsafah yang terkandung didalam seni dan persembahan Mak Yong adalah berbeza dari zaman pengaruh Hindu Buddha dan juga islam, sebelum menerima pengaruh islam, persembahan Mak yong dipersembahkan untuk tujuan permujaan terhadap semangat padi, upacara ini dianggap penting sebagai tanda kesyukuran terhadap rezeki yang dikurniakan. Oleh yang demikian, setiap gerak lenggok tari penari Mak Yong pada ketika itu adalah bertujuan untuk mengembirakan semangat berkenaan, setiap gerak tari, lenggok badan, dipersembahkan dengan penuh keasyikkan dan lemah gemalai, disusuli dengan penceritaan yang diambil berdasarkan kepada Hikayat hindu Buddha iaitu  dari epik  Ramayana. Namun begitu, setelah diresapi oleh pengaruh islam, seni persembahan ini telah mengalami tranformasi hampir kesuluruhan struktur persembahan, tranformasi tersebut merangkumi segala aspek dalam seni persembahan tersebut seperti tari dan persembahan(lakonan,penceritaan dan seni tari), alatan muzik dan juga pakaian dalam persembahan Mak Yong.
Erti motif dan simbol.
TARI DAN PERSEMBAHAN.
                Seni  persembahan  Mak Yong mengandungi nilai estetika yang tersendiri. Nilai –nilai  estetika ini membuatkan  seni  persembahan ini  bergitu bernilai . Setiap dari bahagian , gerak tari, lakonan serta  susun  atur kedudukan  antara pemuzik dan juga penari adalah dirancang dan  mengikut  kepada  tradisi   yang telah diamalkan  sejak  ratusan tahun yang lalu dan memiliki falsafah yang tersendiri.
                                                                                        
         Persembahan drama tari Mak Yong dibahagikan kepada beberapa bahagian persembahan, antara bahagian-bahagian persembahan yang perlu di persembahkan ialah upacara menghadap rebab, sendayung  Pak Yong, sedayung Mak Yong, ziarah bilik pengasuh( sendayung panggil Awang), seterusnya ialah Berkhabar atau dipanggil sebagai Ello atau juga Wok, setelah itu disusuli dengan persembahan nyanyian dan cerita dari koleksi cerita-cerita yang sering dimainkan, dan diakhiri dengan  upacara tutup panggung. Setiap dari bahagian-bahagian yang terdapat didalam persembahan ini tidak boleh di dahulukan atau dikemudiankan atau juga dibuang dari persembahan, perbuatan sedemikian akan mencacatkan persembahan dalam Makyong serta melanggar salah satu prinsip dalam masyarakat melayu seperti ‘Berhalus’ dan mementingkan disiplin.  Menurut Zainal Jaslan didalam buku Siri tokoh Anugerah Seni Negara: Khatijah Awang, beliau menyatakan bahawa susun atur yang demikian juga melambangkan tahap intelektual masyarakat melayu dalam menyusun atur sesuatu  perkara  atau kerja. Hal ini mengambarkan nilai estetik dalam pepatah melayu seperti “yang dahulu didahulukan dan yang kemudian dikemudiankan”.
              Selain itu juga, menurut Che Mat Jusoh, seorang Penolong Pensyarah / Ahli Muzik di Pusat Pengajian Seni, Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang, dan juga Zainal Jaslan didalam buku Siri tokoh Anugerah Seni Negara : Khatijah Awang, setiap gerakan yang dilakukan dalam seni tari mahupun lakonan juga mempunyai metafora yang tersendiri, sebagai contoh gerakan tangan  yang menampakkan lima jari tersusun  membawa  makna  kepada ‘alif lam lam ha’ atau dalam sebutan yang lebih mudah disebut sebagai ‘Allah’,falsafah disebalik gerakan ini  bertindak untuk menyakinkan masyarakat bahawa seni persembahan ini mengandungi unsur yang selaras dengan ajaran islam demi mengelak dari lalai mengigati tuhan( lihat rajah 1), Selain itu kedudukan penari dalam keadaan berpusing dalam bulatan pula melambangkan ikatan raja dan rakyat dimana setiap keputusan yang dibuat adalah secara bersama.
                                                                                                4.
Terdapat lebih dari 30 buah cerita yang menjadi ceritera dalam persembahan Mak Yong asalnya, namun begitu terdapat hanya 12 buah cerita yang sering dimainkan dalam Mak Yong  antaranya adalah seperti ‘Dewa Muda, Bongsu Sakti, Gading Bertimang, Endeng Tejeli, Kilau-kilau Intan Permata dan lain-lain. Cerita-cerita yang dipersembahkan ini mengandungi nilai-nilai moral yang tersendiri, antara nilai-nilai moral yang boleh dipelajari adalah seperti adab berhadapan dengan raja, adakala mereka boleh diajak bergurau, bergitu juga dengan pihak raja yang perlu mempunyai belas kasihan terhadap rakyat jelata; hal ini mengambarkan tentang antara hubungan majkan dengan pekerja, selain itu juga unsur pengajaran lain ialah berbuat baik dibalas baik manakala buat jahat dibalas jahat .
          Selain dari dua elemen diatas, kedudukan antara pemain muzik dan penari juga mempunyai  tempat yang tersendiri dan telah ditetapkan. Dalam persembahan Mak Yong, kedudukan pemain rebab dan juga Pak Yong iaitu watak bagi raja adalah diutamakan. Pemain rebab atau dikenali dengan nama Tok Minguk diletakkan dibahagian hadapan menghala matahari terbenam( lihat rajah 2), terdapat alasan kepada kedudukan tersebut, alasan tersebut adalah berkaitan dengan ajaran islam iaitu menghadap
                                                                                             
kiblat iaitu pada arah marahari terbenam, kedudukan tersebut bertujuan untuk mengingatkan para penonton dan penari terhadap tanggungjawab  untuk menyembah Allah yang esa. Kedudukan ini mula dipraktikkan kesan dari kemasukan nilai islam dalam seni persembahan tersebut setelah kemasukan islam ketanah melayu. Seterusnya adalah kedudukan Pak Yong iaitu watak raja adalah dibahagian tengah dan paling hadapan dari watak-watak yang lain ( lihat rajah 3). Simbolik kepada kedudukan ini adalah sebagai menghormati raja, selain itu kedudukan itu juga melambangkan prinsip ketuanan dan ketaatan masyarakat melayu terhadap pemerintah iaitu raja. Kedudukan watak-watak lain seperti Mak Yong iaitu permaisuri, Puteri Mak Yong, laksamana, dayang-dayang dan peran di susun mengikut kedudukan dan peringkat tertentu, watak yang berkedudukan tinggi dihadapan dan watak biasa dibelakang, namun begitu mereka diletakkan pada paras yang sama. Hal ini mengambarkan bahawa raja dan rakyat adalah sama dan tiada beza, hal ini juga mengigatkan golongan raja pada ketika dulu tentang tanggungjawab terhadap rakyat, selain itu juga ia memberitahu bahawa raja merupakan milik rakyat dan rakyat adalah milik raja. 
 Alatan muzik
                Dalam persembahan Mak Yong alatan dan muzik memainkan peranan yang penting kerana mempunyai nilai estertika melayu yang tersendiri dan penggunaannya bukanlah disengajakan melainkan dengan maksud-maksud yang tersirat didalamnya. Antara peralatan yang selalunya digunakan dalam persembahan Mak Yong adalah rebab, gendang ibu dan anak, sepasang gong ibu dan anak serta serunai.
            Pengolahan alatan-alatan muzik ini juga sebenarnya mempunyai kepentingan  falsafah yang tersendiri, penggunaan alatan muzik dalam persembahan seni tari dan persembahan Mak Yong adalah berkonsepkan kepada ‘orkestra’ atau muzik berkumpulan, prinsipnya yang pelbagai adalah untuk mengimbangi fungsinya dalam persembahan, alatan muzik bertiup tidak dapat berdiri sendiri tanpa bantuan alatan muzik bertali dan juga ketukan begitu juga sebaliknya dalam menghasilkan bunyian yang sempurna mengikut keperluan dalam persembahan, hal yang sama juga dapat dikaitkan dengan falsafah hidup manusia, seorang manusia mempunyai kelebihan dan juga kelemahan sendiri, mereka memerlukan kebergantungan terhadap satu dengan yang lain untuk mengisi kekurangan yang ada. Falsafah disebalik perkara ini juga mengambarkan tentang sikap tolong-menolong yang menebal dalam kehidupan manusia sehingga terbawa didalam seni persembahan.
Pakaian dalam persembahan Mak Yong.
                Dalam mengaitkan nilai estatika melayu dengan pakaian yang dikenakan di dalam persembahan tarian Mak Yong ini ialah dari segi pemilihan warna pakaian itu sendiri,pada kebiasaannya warna yang menjadi pilihan untuk pakaian dalam tarian Mak Yong ini ialah warna kuning, serta warna keemasan. Warna kuning dan warna keemasan ini saling berkaitan dengan warna diraja. Malahan juga warna kuning itu sendiri adalah warna diraja serta tarian Mak Yong itu adalah persembahan untuk golongan
                                                                                              
raja dan pembesar-pembesar. Selain itu, pemakaian kain sibar yang biasanya bertekat dan bersulam benang emas amat berkait rapat dengan nilai estatika melayu kerana banyak menggunakan motif melayu seperti tampuk manggis serta siku keluang seperti yang terdapat pada tenunan songket. Dalam seni tarian Mak Yong ini juga, keris dikenakan sebagai perhiasan sekaligus melambangkan keagungan bangsa melayu. Keris juga adalah satu lambang kepada nilai estatika melayu dari segi keunikkan serta kehalusan seni pembuatannya sendiri yang tiada pada bangsa lain. Umumnya pemilihan pakaian yang dikenakan dalam persembahan tarian Mak Yong ini amat berkait rapat dengan nilai estatika dan kaya dengan warisan melayu dari segi pemilihan warna, corak dan fungsi tarian itu sendiri yang terdiri dari kombinasi dan unsur-unsur  tarian, muzik, drama, dan komedi yang dipersembahkan.
Kesimpulannya
Seni persembahan Mak Yong merupakan satu cabang kesenian melayu yang tidak ternilai harganya, keindahan yangtersembunyi didalam kesenian ini sewajarnya dihargai oleh masyarakat melayu kini. Malahan mereka seharusnya berusaha untuk mengkaji dan memelihara kesenian ini agar tidak hilang ditelan zaman. Seni Mak Yong bukan sekadar manifestasi nyanyian, tarian dan lakonan, kesenian ini sebenarnya tersirat dengan seribu falsafah yang tidak ternilai ,falsafah yang terkandung didalam seni persembahan ini seharusnya difahami dengan sebaiknya oleh masyarakat melayu agar lebih memahami tentang negara bangsa dan asal usul diri .  Unsur hiburan asing seharusnya tidak diberikan perhatian dan menjadi pilihan utama,Seni Mak Yong seharusnya   terus menjadi sumber hiburan masa kini oleh kerana nilai falsafahnya yang tinggi dan mengandungi unsur kebudayaan yang mampu membina jati dari masyarakat yang mencintai agama dan banga malah melatih diri menjadi lebih berdisiplin. Seni Mak Yong ini juga seharusnya diangkat dan dipopularkan ke peringkat yang lebih tinggi sebagai satu wadar yang melambangkan  hubungan antara kerajaan  dan juga rakyat.
                Disamping itu juga falsafah seni tari dan persembahan Mak Yong sebenarnya dapat disampaikan melalui wadah dan cara yang berlainan, ianya dapat disampaikan didalam bentuk  catan, arca, cetakan dan sebagainya, untuk menuju kearah pengaplikasian berkenaan memerlukan menelitian dan juga pemahaman secara halus terhadap falsafah yang terkandung disebalik seni tersebut, tanpa pemahaman  yang  jelas  terhadap falsafahnya , pengaplikasian tersebut tidak dapat dilaksanakan dengan berkesan. Pengaplikasian seni  kepada satu wadah yang baru  dapat  dilakukan dengan menghuraikan  falsafah serta nilai estetik yang terdapat pada motif dan juga simbol-simbol yang terdapat pada kesenian ini. 
              Analisis yang berkesan terhadap aspek-aspek ini secara langsung dapat memartabatkan kesenian ini setingkat lebih tinggi dari sebelumnya, malahan membuka mata banyak pihak terhadap kesan ‘ kewujudannya’ dalam kehidupan masyarakat.    

BIBLIOGRPHY.

  • Osnes ,B, Gill, S,2001, Acting :An International Encylopedia of Tradisional Culture,United States America: page 205-206.
  • West Malaysia and Singapore, 1998, Singapore:Periplus Editions(HK) Ltd.
  • Jazlan, Z,2003,Siri Tokoh Anugerah Seni Negara:Khatijah Awang, Kuala Lumpur, Kementerian Kebudayaan, Kesenian, Dan Pelancongan Malaysia.
  • Jusoh,C.M,2010, Penolong Pensyarah / Ahli Muzik Pusat Pengajian Seni, Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang

   

  PREPARED BY :
                   MOHD AKHIR BIN AHMAD
                    SABIHIS BIN MD PANDI
                                      NAZMI BADRI BIN ABD WAHAB
                  KHAIRI HADRI BIN ALIAS
            MOHAMMAD FIRDAUS BIN ISMAIL
               ZULKHAIRI BIN ABDUL MUIN
           SITI AISHAH BINTI MOHD ISOMUDIN
       

No comments:

Post a Comment